RAKAMAN video di aplikasi Tik Tok berdurasi 59 saat menunjukkan seorang pelajar perempuan memaklumkan seorang guru lelaki subjek (PJK) yang bergurau mengenai elemen rogol tular di media sosial, baru-baru ini.
RAKAMAN video di aplikasi Tik Tok berdurasi 59 saat menunjukkan seorang pelajar perempuan memaklumkan seorang guru lelaki subjek (PJK) yang bergurau mengenai elemen rogol tular di media sosial, baru-baru ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Polis sudah mengambil keterangan seorang guru subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah menengah di daerah ini yang dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur lucah ketika mengajar, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, guru lelaki berusia 41 tahun itu diambil keterangan berhubung kes terbabit, semalam.

"Selain guru terbabit, kami juga sudah mengambil keterangan pengadu iaitu seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, semalam.

"Beberapa saksi lain juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa'aton berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada Sabtu lalu.

"Laporan itu dibuat oleh pengadu selepas guru berkenaan ada menyebut mengenai elemen rogol di dalam kelas yang mendatangkan kegusaran serta tidak senang hati pelajar perempuan berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, satu video di aplikasi Tik Tok berdurasi 59 saat menunjukkan seorang pelajar perempuan memaklumkan seorang guru lelaki subjek PJK yang bergurau mengenai elemen rogol tular di media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:46 PM