Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Bapa dan pelajar yang mendakwa guru pendidikan jasmani bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol akan membuat saman balas RM5 juta.

Peguam mereka, Datuk Sankara Nair berkata, berdasarkan surat tuntutan diterima pihaknya daripada guru terbabit, beliau menasihatkan anak guamnya untuk memfailkan saman balas.

"Saya sudah maklum melalui surat kepada peguam guru terbabit bahawa kami akan memfailkan tuntutan saman RM5 juta kerana sengaja menyebabkan tekanan emosi," katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Terdahulu Ain Husniza Saiful Nizam, 17, dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab hadir di IPD Sungai Buloh kira-kira jam 5 petang untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat guru berkenaan berhubung perkara itu, baru-baru ini.

Mereka turut ditemani Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Difahamkan Ain serta bapanya diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mereka dilihat keluar dari IPD Sungai Buloh jam 6.15 petang selepas kira-kira hampir satu jam memberi keterangan.

Sementara itu, Ain berkata, dia hanya mahu jadikan sekolah sebagai persekitaran yang selamat dan sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak dalam kenyataannya yang dibuat sebelum ini yang berkaitan guru pendidikan jasmaninya bergurau keterlaluan berkaitan melakukan perbuatan rogol.

"Ini adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat di sekolah.

"Ketika keterangan saya dan bapa diambil, pihak polis sangat profesional dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka," katanya.

Ain Husniza hadir selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di IPD Sungai Buloh susulan notis tuntutan saman oleh guru Pendidikan Jasmani sekolahnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ain Husniza hadir selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di IPD Sungai Buloh susulan notis tuntutan saman oleh guru Pendidikan Jasmani sekolahnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Semalam Harian Metro melaporkan guru pendidikan jasmani yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol tidak diambil tindakan lanjut oleh polis yang selesai menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki susulan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru pada 5 Mei lalu.

"Menerusi laporan dibuat lelaki terbabit, kenyataan itu dibuat oleh seorang pelajar perempuan di sekolah tempat pengadu bertugas semasa wawancara di media sosial sebuah akhbar tempatan pada 30 April lalu berkaitan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut mengenai elemen rogol ketika proses pembelajaran di dalam kelas.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh memanggil pelajar berkenaan bersama bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkaitan aduan terhadap laporan polis dibuat pengadu terbabit.

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. Kedua-dua individu berkenaan hadir dengan ditemani oleh peguam, Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu media melaporkan polis menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.

Media 24 April lalu melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.

Ain mendakwa pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan terbabit.

Bagaimanapun, pelajar itu mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

Malah kes itu tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.

Pelajar terbabit turut berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 8:23 PM