Pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam, bercakap kepada wakil media selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di IPD Sungai Buloh susulan notis tuntutan saman oleh guru Pendidikan Jasmani sekolahnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam, bercakap kepada wakil media selepas dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di IPD Sungai Buloh susulan notis tuntutan saman oleh guru Pendidikan Jasmani sekolahnya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkannya sebelum ini hanya mahu menjadikan sekolah sebagai persekitaran selamat.

Ain berkata, dia sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak dalam kenyataannya itu.

"Ini adalah hak kami sebagai pelajar untuk mendapat persekitaran yang selamat di sekolah. Semasa keterangan saya dan bapa (Saiful Nizam Abdul Wahab) diambil, pihak polis sangat profesional dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka (pihak polis)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Ain dan bapanya tiba di IPD Sungai Buloh kira-kira jam 5 petang tadi untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat guru berkenaan berhubung perkara itu, baru-baru ini.

Mereka yang ditemani peguam mereka, Datuk Sankara Nair masuk ke IPD Sungai Buloh kira-kira jam 5.30 petang tadi sebelum selesai memberi keterangan jam 6.15 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki susulan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru pada 5 Mei lalu.

"Menerusi laporan dibuat lelaki terbabit, kenyataan itu dibuat oleh seorang pelajar perempuan di sekolah tempat pengadu bertugas semasa wawancara di media sosial sebuah akhbar tempatan pada 30 April lalu berkaitan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut mengenai elemen rogol ketika proses pembelajaran di dalam kelas.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh memanggil pelajar berkenaan bersama bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkaitan aduan terhadap laporan polis dibuat pengadu terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan guru pendidikan jasmani yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol tidak diambil tindakan lanjut oleh polis yang selesai menjalankan siasatan.

Shafa'aton dipetik berkata, pihaknya menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.

Media 24 April lalu melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.

Ain mendakwa pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan terbabit.

Bagaimanapun, pelajar itu mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

Malah kes itu tular di media sosial sehingga menjadi bualan ramai.

Pelajar terbabit turut berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 9:01 PM