Shafa'aton menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian ketika sidang media kes samun dan menyamar sebagai ejen pemungut wang syarikat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Shafa'aton menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian ketika sidang media kes samun dan menyamar sebagai ejen pemungut wang syarikat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Seorang lelaki dikesan menyamar sebagai wakil yang mengutip wang jualan daripada premis perniagaan di Selangor untuk memperdaya pekerja supaya menyerahkan hasil jualan itu.

Kegiatan yang berlangsung sejak pertengahan tahun lalu itu bagaimanapun terbongkar selepas lelaki berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kota Emerald, Rawang pada jam 12.30 tengah malam, 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, penahanannya susulan laporan daripada pekerja sebuah kiosk milik syarikat telekomunikasi pada 18 Januari lalu.

"Menurut pengadu, seorang lelaki datang ke kiosk yang mengaku sebagai juruteknik syarikat telekomunikasi terbabit dan mahu mengutip wang jualan, menyebabkan wanita berkenaan ragu-ragu untuk menyerahkan wang.

"Suspek kemudian menyuruh pengadu tunduk di kaunter dan dia melihat lelaki terbabit membawa pisau. Suspek mengarahkan pekerja berkenaan menyerahkan wang berkenaan sebelum dia terus melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, susulan itu, pihaknya menahan suspek di Kota Emerald, Rawang dan merampas sebuah telefon bimbit serta pakaian digunakan suspek ketika melakukan jenayah terbabit.

"Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai wakil syarikat atau bank untuk mengambil wang hasil jualan dengan berpura-pura menelefon pengurus di hadapan pekerja di hadapan kaunter bagi meyakinkan mangsa.

"Malah, suspek juga berpura-pura dalam keadaan tergesa-gesa dengan alasan mahu memasukkan wang sebelum proses penutupan bil pada hari berkenaan.

"Suspek dipercayai menyasarkan kedai, farmasi, klinik dan lain-lain premis yang menggunakan peti wang tunai, dengan kegiatan berjalan antara jam 4 petang hingga 7.30 malam," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek terbabit sekurang-kurangnya 40 kes jenayah termasuk jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM94,175.

"Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk dikehendaki bagi kes penipuan. Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

"Suspek kini diserahkan kepada IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun tanpa senjata api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:21 PM