Mohd Roji Kawi


Kuching: Salah seekor buaya yang mencetuskan kebimbangan penduduk Kampung Bako di sini, berjaya ditangkap hari ini.

Reptilia sepanjang 3.5 meter itu ditangkap menggunakan kail dengan umpan ayam yang dipasang pakar buaya tempatan, Wan Mazlan Wan Median, 62.

Wan Mazlan berkata, kail itu dipasangnya di satu lokasi di hujung kampung berkenaan pagi semalam.

"Selepas saya biarkan semalaman, pagi ini saya diberitahu oleh penduduk kampung, kail yang saya pasang itu seperti mengena.

"Selepas saya periksa, memang benar ada seekor buaya besar tersangkut," katanya.

BUAYA sepanjang 12 kaki berjaya di tangkap oleh Pawang buaya Wan Mazlan Wan Mazian 62, bersama adiknya Wan Affendi 54, menggunakan umpan ayam. FOTO Nadim Bokhari
BUAYA sepanjang 12 kaki berjaya di tangkap oleh Pawang buaya Wan Mazlan Wan Mazian 62, bersama adiknya Wan Affendi 54, menggunakan umpan ayam. FOTO Nadim Bokhari

Bagaimanapun, Wan Mazlan berkata, penangkapan buaya itu belum meredakan sepenuhnya kebimbangan penduduk kampung kerana masih ada tiga lagi yang dikenal pasti kerap bertembung dengan penduduk.

"Saya difahamkan tiga buaya yang masih bebas itu saiznya lebih besar dan panjang daripada yang ditangkap hari ini," katanya.

Wan Mazlan yang pernah menangkap hampir 20 buaya di Sungai Bako berkata, beliau memasang kail itu selepas penduduk kampung meminta bantuannya untuk menangkap buaya yang sering muncul berdekatan kediaman mereka beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah, seekor berjaya ditangkap hari ini dan kami menunggu masa sesuai untuk menangkap tiga lagi yang bersaiz besar itu," katanya sambil memaklumkan buaya yang ditangkap hari ini diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 1:33 PM