PENIAGA Safi Omar, 68, (kiri) bersama anaknya Muhammad Fuad, 25, menyusun tembikai atau lebih dikenali sebagai 'timun cina' untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di Batu Enam. FOTO BERNAMA
PENIAGA Safi Omar, 68, (kiri) bersama anaknya Muhammad Fuad, 25, menyusun tembikai atau lebih dikenali sebagai 'timun cina' untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di Batu Enam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Tradisi penduduk Terengganu yang menjadikan tembikai atau lebih dikenali sebagai 'timun cina' sebagai buah-buahan 'wajib' apabila berbuka puasa membawa rezeki berganda kepada peniaga dan peladang tempatan.

Seorang peladang, Baharudin Ibrahim, 53, berkata berdasarkan pengalamannya selama 15 tahun berkecimpung dalam penanaman tembikai, permintaan akan meningkat dua kali ganda pada Ramadan berbanding bulan biasa.

"Tambahan pula, cuaca panas terik ketika ini menyebabkan tembikai sentiasa laris di pasaran. Kebanyakan peladang biasanya merancang jadual penanaman agar tembikai dapat dituai sepanjang Ramadan.

"Dari segi pasaran, memang tiada masalah kerana saya baru sahaja menandatangani perjanjian jual beli ladang kontrak dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk membekalkan sebanyak 60 tan tembikai kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu pada Ramadan kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ketika ini, Terengganu mempunyai tiga daerah utama yang menjadi pusat pengeluaran hasil tembikai untuk pasaran seluruh negara iaitu Setiu, Besut serta Marang.

Seorang peniaga buah-buahan, Fauzilah Ibrahim, 52, berkata tembikai adalah buah paling laris di gerainya dekat Gong Badak, Kuala Nerus setiap kali Ramadan kerana ia adalah buah kegemaran rakyat Terengganu untuk berbuka puasa.

"Selain rasanya yang sedap, ia sesuai dijadikan jus segar bagi mengembalikan tenaga setelah seharian berpuasa.

"Uniknya orang Terengganu ni, tembikai pun boleh dijadikan 'ulam' untuk dimakan bersama nasi.

"Setakat tujuh hari kita berpuasa, boleh dikatakan permintaan meningkat 20 peratus, ada pelanggan tetap yang memang beli setiap hari kerana stok tembikai saya jual ini adalah baru dituai dari ladang sekitar Kuala Terengganu dan Setiu, jadi buahnya lebih manis dan segar," katanya yang menjual tembikai pada harga RM3 untuk satu kilogram.

Sementara itu, Pengarah Fama Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, pihaknya menandatangani perjanjian jual beli tembikai sebanyak 330 metrik tan untuk memenuhi permintaan dijangka meningkat sepanjang Ramadan kali ini.

"Perjanjian jual beli bernilai lebih RM264,000 ini bertujuan memudahkan petani memasarkan hasil keluaran tembikai di ladang mereka dengan harga stabil, sekali gus mengelakkan ketidakstabilan harga akibat campur tangan orang tengah.

"Pada masa sama, ini akan memastikan bekalan tembikai berkualiti dan mengikut spesifikasi ditetapkan sentiasa mencukupi di pasaran tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:53 PM