MAS Ermieyati
MAS Ermieyati
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan untuk membantu usahawan wanita bagi menguasai kemahiran e-dagang melalui Program Women Netpreneur anjuran agensinya, SME Corp Malaysia.

Program itu adalah kerjasama antara SME Corp dengan Gorgeous Geeks.

Selain meningkatkan kemahiran dalam e-dagang, usahawan wanita juga akan dapat meningkatkan pendapatan dan kebolehpasaran mereka melalui program ini.

Timbalan Menteri Medac, Datuk Wira Mas Ermieyati berkata, usahawan wanita tidak boleh diabaikan kerana menjadi penyumbang signifikan dalam ekonomi.

Katanya, adalah penting untuk membantu usahawan wanita terutama mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Berdasarkan Bancian Ekonomi Tahun 2016 Jabatan Perangkaan Malaysia, didapati perniagaan milikan wanita menyumbang sebanyak RM69.1 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Selain itu, perniagaan milikan wanita juga sudahmewujudkan 786,132 peluang pekerjaan dengan penggajian sebanyak RM11.1 billion.

"Medac komited dalam memperkasakan wanita dalam arus perdana pembangunan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

"Dengan ini, Medac akan terus menyokong Program Women Netpreneur dengan mempergiatkan pelaksanaan sesi libat urus bersama usahawan wanita," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 2,280 usahawan wanita sudah dilatih melalui program Women Netpreneur dan daripada jumlah itu, 80 peratus peserta berjaya melanggan platform e-dagang seperti Facebook, Shopee dan Lazada untuk menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee berkata, Program Women Netpreneur ini dijangka memberi faedah kepada 480 orang usahawan wanita.

"Disebabkan sambutan yang baik, siri kedua program ini akan diteruskan bermula Ogos sehingga November 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:20 AM