MUSTAPA   melihat skrin informasi ECOMMERCE pada mesyuarat NeCC di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam.
MUSTAPA melihat skrin informasi ECOMMERCE pada mesyuarat NeCC di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Penggunaan e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dijangka berkembang kepada 50 peratus menjelang 2020 berbanding 32 peratus pada tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementeriannya memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan penyertaan PKS dalam e-dagang termasuk melalui program Go Global Malaysia.

Program itu hasil kerjasama awam-swasta yang diterajui rakan industri seperti Google, Alliance Bank, MasterCard dan Maxis bersama kementerian dan agensi di bawahnya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corp dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC).

“Saya yakin program ini akan memperkasakan PKS tempatan untuk tujuan membangunkan kemampuan perniagaan, menghubungkan rakan ekosistem digital dan menggalakkan eksport,” katanya pada taklimat media sempena mesyuarat Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, program latihan dan pendidikan itu bertujuan membantu PKS meningkatkan pendapatan masing-masing melalui aspek pendigitalan.

Menurutnya, pihaknya merancang mengadakan beberapa siri program latihan dan pendidikan di lokasi terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Pertumbuhan pantas kadar penggunaan e-dagang mendorong kami menjalinkan kerjasama dengan Google dan Lazada bagi membimbing PKS untuk menjalankan perniagaan melalui e-dagang dan menyasarkan 1,000 PKS akan dilatih di bawah program ini,” katanya.

Pada majlis sama, SME Corp menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lazada Malaysia untuk memacu penggunaan e-dagang dalam kalangan PKS tempatan dan pelancaran program Go Global Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:23 AM