Oleh Sri Ayu Kartika Amri


SME Corp Malaysia (SME Corp) komited meningkatkan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelaksanaan dua program baharunya, Program Business Scale-Up (Biz-Up) dan Program Global SME Masterclass 2020 (GSM 2020).

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) itu memperkenalkan program terbabit selaras dengan usaha Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara.

“Program Business Scale-Up (Biz-Up) adalah program bantuan bersepadu yang bertujuan meningkatkan keupayaan PKS melalui khidmat nasihat perniagaan dan sokongan kewangan.

“Program ini merangkumi pelbagai aktiviti pembinaan kapasiti untuk membantu PKS meningkatkan pertumbuhan dan mengembangkan perniagaan mereka,” menurut SME Corp dalam satu kenyataan.

Melalui program itu juga, SME Corp berkata, sokongan perniagaan ditawarkan dalam bentuk geran bersamaan atau pinjaman mudah kepada PKS yang menerapkan elemen Industri 4.0, Automasi dan Pendigitalan terutama bagi PKS dalam sektor Logistik Bersepadu, Peruncitan, Pemborongan, Teknologi Hijau, Smart City, Gaharu dan Burung Walit.

Permohonan program Biz-Up dibuka sehingga 30 April 2020.

Selain program Biz-Up, SME Corp juga melaksanakan program latihan intensif, Global SME Masterclass 2020 (GSM 2020) bagi memantapkan keupayaan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pemilik perniagaan PKS.

Program itu memberi tumpuan untuk menerapkan elemen IR4.0 dan Pendigitalan PKS serta amalan perniagaan terkini termasuk melalui pendekatan semi consulting dan semi coaching.

Program pengajian jangka pendek ini akan mengambil masa selama satu semester (tiga bulan) dan menyediakan modul latihan khas yang merangkumi kajian kes, tugasan dan perkongsian pengalaman daripada usahawan yang berjaya.

Tahun ini, GSM 2020 membabitkan lapan universiti awam dan empat universiti swasta.

Program kali ini menyasarkan penyertaan 240 hingga 300 CEO PKS dari seluruh Malaysia untuk dilatih.

Untuk menyertai progam ini, syarikat perlu memenuhi dua syarat asas iaitu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berstatus PKS.

Baru-baru ini, SME Corp juga memperkenalkan Sistem Pendaftaran Status PKS.

Sistem pendaftaran ini digunakan untuk mengesahkan status PKS bagi semua syarikat atau perniagaan yang memenuhi definisi PKS.

Status PKS diperlukan bagi syarikat atau perniagaan yang ingin mendapatkan bantuan dan insentif bersasar khas untuk PKS.

Pendaftaran status PKS ini boleh dilakukan secara dalam talian di www.smereg.smecorp.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:10 AM