GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Empat kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja di sekitar Lukut dan Port Dickson.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Mas Azmimin Ahmad mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Mas Azmimin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap keempat-empat individu terbabit bermula semalam hingga 21 April ini.

Terdahulu, empat individu berkenaan yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam media melaporkan, sumber SPRM memberitahu, individu berusia antara 36 hingga 53 tahun itu yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguat kuasa ditahan pada jam 2 petang ketika hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Difahamkan, mereka disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja tidak berlesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 3:47 PM