Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson, Norihan Salleh, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menerima suapan bagi sebutharga kerja pembersihan di empat pasar tani, dari 2020 hingga 2022. FOTO AZRUL EDHAM
Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson, Norihan Salleh, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menerima suapan bagi sebutharga kerja pembersihan di empat pasar tani, dari 2020 hingga 2022. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan bagi sebut harga kerja pembersihan di empat pasar tani di daerah itu, dari 2020 hingga 2021.

Tertuduh, Norihan Salleh, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.

Menurut pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu Pembantu Ehwal Ekonomi di Pejabat Fama Daerah Port Dickson menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya apabila membantu mengemukakan sebut harga untuk kerja pembersihan di Pasar Tani Batu 4, Pasar Tani Springhill, Pasar Tani Giant Lukut dan Pasar Tani Pasir Panjang bagi tahun 2020 hingga 2022.

Tertuduh mempunyai kepentingan iaitu tiga syarikat itu adalah milik saudaranya.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu dokumen sebut harga atas nama tiga syarikat sama bagi kerja pembersihan di Pasar Tani Daerah Port Dickson.

Justeru dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Kesalahan dilakukan antara Januari 2020 hingga Disember 2021, di Pejabat Fama Port Dickson, Port Dickson.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM.

Peguam R Sivanesan memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah memandangkan ini kesalahan kali pertama tertuduh selain menanggung empat anak dengan suami berpendapatan sekitar RM800 sebulan.

Mahkamah memerintahkan jaminan sebanyak RM7,000 dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson pada Sabtu pertama setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 12 Januari 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 12:56 PM