AZMI menunjukkan lokasi buaya dipercayai berehat sebelum kembali ke habitat asalnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
AZMI menunjukkan lokasi buaya dipercayai berehat sebelum kembali ke habitat asalnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Orang ramai tidak perlu bimbang atau panik dengan berita tular di Facebook mengenai dakwaan individu ternampak buaya dianggarkan sepanjang empat meter di kawasan Pengkalan Nelayan Bagan Pinang, di sini, semalam.

Nelayan, Azmi Abu Bakar, 65, berkata dia percaya dengan dakwaan itu kerana kerap nampak buaya di sekitar perairan ini sejak beberapa tahun lalu.

"Buaya jenis tembaga dipercayai berasal dari Kuala Lukut dan kawasan ini tempat laluan antara Kuala Lukut hingga ke Kuala Linggi.

"Saya percaya ia buaya sama pernah saya lihat, tetapi buaya ini tidak mengganggu orang atau nelayan kerana belum pernah lagi kami dengar kes orang digigit buaya di perairan Port Dickson.

"Buaya itu kemungkinan berhenti rehat di pantai Bagan Pinang sebelum meneruskan perjalanan balik ke habitat asalnya ke Kuala Lukut dari Kuala Linggi," katanya ketika ditemui di pengkalan nelayan berkenaan, hari ini.

Katanya, video ditularkan individu itu mengenai kewujudan buaya terbabit boleh menakutkan orang ramai yang mahu beriadah di kawasan itu.

"Saya cukup yakin, ia buaya yang sama kerana biasanya ia keluar apabila berlaku air pasang penuh dan ia keluar berjumpa 'saudaranya' di Kuala Linggi dan kembali semula di Kuala Lukut.

"Malam tadi kemungkinan ia berhenti rehat dan ada individu dipercayai pemancing nampak serta menularkannya di Facebook.

"Apa yang saya bimbang ialah ia menakutkan pengunjung dan orang ramai yang mahu datang beriadah di kawasan ini, sedangkan pada hakikatnya ia tidak membahayakan dan tidak datang ke kawasan ramai orang," katanya.

Semalam, tular di Facebook mengenai dakwaan ada individu ternampak buaya sepanjang empat meter di kawasan Bagan Pinang Port Dickson.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima aduan rasmi berhubung penemuan buaya di kawasan Bagan Pinang.

Beliau berkata, pihaknya terlebih dahulu akan meneliti maklumat tular itu bagi memastikan kejadian itu benar-benar berlaku.

"Kami akan siasat terlebih dahulu sebelum mengesahkan ia berlaku di kawasan perairan Port Dickson.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana individu mengenai penemuan buaya di Port Dickson.

"Orang ramai terutama pengunjung di pantai Port Dickson dinasihatkan tidak perlu panik dan sekiranya ternampak sesuatu yang mencurigakan, segera melaporkan kepada kami (Perhilitan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:54 PM