Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan akan mengadakan 17 sekatan jalan raya (SJR) susulan tujuh daerah di negeri itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu, mulai tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata ia merangkumi 13 SJR di tujuh daerah dan empat SJR di sempadan negeri.

Katanya, sekatan jalan raya itu diadakan supaya tidak berlaku rentas daerah dan negeri melainkan mereka yang mempunyai surat kebenaran daripada pihak polis.

"Sebagaimana yang diputuskan bahawa Kelantan diletakkan di bawah PKP bermula 16 hingga 29 April ini, kita akan mengadakan sekatan jalan raya bagi membataskan pergerakan daerah mulai tengah malam ini.

"Setiap daerah akan diadakan dua atau tiga SJR. Kita juga mengambil pendekatan menutup semua laluan tikus.

"Justeru, kita memohon rakyat Kelantan supaya bersabar memandangkan trend Covid-19 di Kelantan semakin meningkat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

SHAFIEN ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Shafien berkata, seramai 500 anggota dan sukarela polis yang bertugas di SJR dan pihaknya akan memohon bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk turut sama membantu.

Dalam perkembangan lain, Shafien mengarahkan semua unit penguatkuasa supaya berada di lokasi perniagaan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Ramadan.

"Sejak dua hari Ramadan, kita boleh lihat pematuhan SOP agak berkurangan. Bagaimanapun kita beruntung sebab Kelantan tiada bazar Ramadan, namun mereka masih dibenarkan berniaga di tepi jalan.

"Disebabkan itu saya sudah mengarahkan unit penguatkuasaan supaya berada di lokasi perniagaan bagi memantau dan melihat kepatuhan SOP rakyat di negeri ini.

Pada masa sama kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan operasi.

"Harapan saya dalam kita menyambut Ramadan dan mencari juadah berbuka, marilah kita sama-mata patuh SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 12:59 PM