Nor Fazlina Abdul Rahim


Bachok: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu bermula tengah malam ini sehingga 1 Jun membabitkan seramai 1,032 penduduk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan membuat 10 sekatan jalan raya (SJR) masing-masing enam di Bachok dan empat di Kota Bharu.

Pada masa sama katanya, pihaknya akan meletakkan halangan di tujuh laluan tikus bagi menyekat pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.

"Untuk PKPD di dua kampung dalam dua daerah berkenaan, seramai 104 anggota pasukan keselamatan akan bertugas sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita mengesan tujuh laluan tikus dan sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk memasang kawad duri.

"Justeru, kita mengharapkan penduduk di kawasan berkenaan memberi kerjasama penuh dan tidak mengambil kesempatan untuk keluar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Kampung Pauh Lima, di sini, yang akan dilaksanakan PKPD mulai tengah malam ini sehingga 1 Jun ini.

Shafien (kiri) melihat peta kawasan membabitkan tiga di Kampung Pauh Lima Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, bermula tengah malam ini sehingga 1 Jun membabitkan 1,032 penduduk yang berkuatkuasa pelaksanaan PKPD pada tengah malam ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Shafien (kiri) melihat peta kawasan membabitkan tiga di Kampung Pauh Lima Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, bermula tengah malam ini sehingga 1 Jun membabitkan 1,032 penduduk yang berkuatkuasa pelaksanaan PKPD pada tengah malam ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Shafien turut mengingatkan penduduk kampung supaya tidak lari dari kawasan berkenaan bagi mengelak dikenakan PKPD.

"Mereka tidak boleh lari kerana senarai nama sudah ada dengan Jabatan Kesihatan Negeri. Jika keluar pun, mereka mesti kembali semula untuk menjalani ujian calitan," katanya.

Dalam perkembangan lain sepanjang 12 hari sehingga semalam, Shafien berkata, polis Kelantan mengeluarkan 86 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dengan kesalahan paling banyak adalah rentas daerah tanpa kebenaran selain tidak memakai pelitup muka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:20 PM