LUKEMA Meri ketika sidang media di pejabatnya, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
LUKEMA Meri ketika sidang media di pejabatnya, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kompaun serta-merta akan dikeluarkan ke atas individu meninggalkan sampah termasuk sisa makanan di tapak lokasi bazar Ramadan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lukema Meri Salleh berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa berpakaian preman akan ditempatkan di tiga tapak bazar Ramadan yang dijangka menjadi tumpuan masyarakat membeli-belah juadah sebelum berbuka puasa di kawasan berkenaan.

Katanya, tiga lokasi bazar Ramadan dijangka menjadi tumpuan masyarakat membeli-belah dan berbuka puasa adalah di kawasan Jambatan Angkat atau Drawbridge serta di Dataran Shah Bandar.

"Pegawai dan anggota penguat kuasa MBKT yang tidak berpakaian seragam akan terus mengeluarkan kompaun serta-merta ke atas individu yang meninggalkan sampah dan sisa makanan di kawasan itu selepas berbuka puasa.

"Tiga lokasi akan diberi tumpuan berikutan pengunjung bukan sahaja akan membeli-belah juadah, sebaliknya berbuka puasa di kawasan lapang berhampiran bazar Rramadan," katanya kepada media di pejabatnya, hari ini.

Lukema Meri berkata, sebanyak 25 tapak bazar Ramadan termasuk 13 lokasi di kawasan majlis di utara diluluskan pada tahun ini.

Beliau berkata, antara 13 lokasi bazar Ramadan di kawasan majlis di utara adalah termasuk tiga di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbridge.

"Walaupun jumlah tapak bazar Ramadan tahun ini meningkat kepada 25 lokasi, jumlah petak disediakan hanya membabitkan 900 berbanding 1,300 pada 2019 lalu.

"Malah, kami menetapkan prosedur operasi standard (SOP) iaitu hanya satu laluan masuk dan satu laluan keluar disediakan di semua tapak bazar Ramadan.

"Penganjur bazar Ramadan mesti menyediakan pengimbas suhu badan, cecair pensanitasi tangan dan semua pengunjung diwajibkan melakukan ujian suhu badan serta memakai pelitup muka sebelum dibenarkan memasuki tapak bazar Ramadan," katanya.

Beliau berkata, gerai peniaga perlu dijarakkan sejauh kira-kira 1.5 meter antara satu sama lain manakala hanya dua pintu masuk dan keluar disediakan.

Menurutnya, penganjur bazar ramadan diminta memastikan setiap pengunjung melakukan penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:42 PM