GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Penganjur bazar Ramadan terutama gerai jualan makanan di bandar raya ini diminta mengehadkan kemasukan jumlah pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa.

Langkah berkenaan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan keadaan sesak yang juga antara garis panduan dikeluarkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Rozali Salleh berkata, penganjur bazar juga diminta untuk memastikan peniaga dan pekerja sentiasa memakai pelitup muka dan apron ketika melayan pelanggan.

Katanya, mereka juga perlu menyediakan QR Code Mysejahtera di pintu masuk ke tapak bazar Ramadan.

"Peniaga dan pekerja di gerai jualan makanan juga perlu lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, selain mendapatkan suntikan tambahan pelalian anti tifoid," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozali berkata, MBKT menyediakan sebanyak 3,694 gerai jualan berbanding hanya 3,750 ketika Ramadan tahun lalu.

"Jumlah keseluruhan bazar Ramadan disediakan di kawasan tadbiran MBKT termasuk di Kuala Nerus adalah sebanyak 36 tapak membabitkan 4,385 petak," katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 26 tapak membabitkan 3,694 petak disediakan dalam kawasan bandar raya, manakala 10 tapak membabitkan 691 petak di Kuala Nerus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 3:54 PM