Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kegiatan penyeludupan diesel dengan memindahkan bahan bakar itu dari bot kargo ke lori tangki di Kampung Teluk Pasu, Manir, di sini, terbongkar susulan serbuan di sebuah stor di lokasi itu, semalam.

Stor pelupusan bahan binaan itu terletak berhampiran tebing sungai diserbu pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pada 12.15 tengah malam, hasil risikan selama dua bulan.

Susulan itu, lima lelaki ditahan, manakala 53,000 liter diesel dan sebuah lori tangki serta dua bot kargo bernilai RM930,150 dirampas.

Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia berkata, intipan yang dilakukan sebelum serbuan mendapati tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an sedang leka melakukan penyelenggaraan pada sebuah pam yang disambung dengan getah paip lut sinar.

"Berdasarkan penelitian didapati satu pam yang disambung dengan paip getah lut sinar berada di tepi lori tangki dan disambungkan ke arah belakang premis berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua bot kargo diparkir pada jeti di belakang stor berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah pam disambung terus dari tangki bot kargo ke pam yang ditemui di tepi lori tangki.

SAHARUDDIN melihat lori tangki yang diisi diesel seludup. FOTO Ghazali Kori.
SAHARUDDIN melihat lori tangki yang diisi diesel seludup. FOTO Ghazali Kori.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 23,000 liter minyak diesel dalam tangki lori dan 30,000 liter masih berada dalam tangki bot kargo.

"Berdasarkan risikan selama dua bulan lalu, kita tidak menolak kemungkinan bekalan diesel itu diperoleh dari tengah laut dan diangkut menggunakan bot kargo sebelum disalurkan ke lori tangki.

"Siasatan awal dilakukan mendapati bekalan bahan bakar itu dijual di sektor perindustrian dan lima lelaki yang diberkas kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, tiga daripada lima lelaki itu ditahan dalam stor, seorang ketika berada dalam bot kargo manakala seorang lagi menyerah diri di pejabat KPDNHEP.

"Kesemuanya ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 5:21 PM
SAHARUDDIN (tiga kiri) memeriksa tangki minyak dalam kegiatan pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran di sebuah stor pelupusan bahan binaan di Kampung Teluk Pasu, Manir. FOTO Ghazali Kori.
SAHARUDDIN (tiga kiri) memeriksa tangki minyak dalam kegiatan pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran di sebuah stor pelupusan bahan binaan di Kampung Teluk Pasu, Manir. FOTO Ghazali Kori.