POLIS mengadakan pemeriksaan di pusat hiburan sebelum mendapati pengunjung tidak mematuhi SOP. FOTO ihsan Polis
POLIS mengadakan pemeriksaan di pusat hiburan sebelum mendapati pengunjung tidak mematuhi SOP. FOTO ihsan Polis
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan wanita hamil serta suaminya antara 32 individu yang dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Gemilang, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan Op Noda pada 12.05 tengah malam itu, 32 individu didapati leka berhibur dalam premis berkenaan.

Ketika pemeriksaan terdapat lelaki bergelar Datuk Seri berusia 60 tahun yang sedang menyambut hari lahir rakannya di bilik khas dalam pusat hiburan terbabit.

Pemeriksaan lanjut di bilik berasingan mendapati wanita yang mengandung lima bulan sedang berhibur dengan suaminya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, keseluruhannya terdapat 32 individu berusia 20-an hingga 60-an dalam pusat hiburan berkenaan.

"Kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 19(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No4) 2021 (Akta 342) sebanyak RM10,000 atas kesalahan yang dilakukan," katanya di sini, hari ini.

Polis turut menahan pekerja lelaki warga Bangladesh dan pekerja wanita warga Vietnam kerana didapati tinggal di Malaysia tanpa permit sah mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 10:52 AM