POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Puncak, Kuala Lumpur yang beroperasi semasa tempoh PPN Fasa 4. FOTO IHSAN POLIS
POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Puncak, Kuala Lumpur yang beroperasi semasa tempoh PPN Fasa 4. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Keseronokan 87 pengunjung berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Puncak di sini, berakhir apabila premis berkenaan diserbu polis, awal pagi, hari ini.

Dalam serbuan jam 1.45 pagi itu, polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM87,000 kepada kesemua 31 pengunjung lelaki dan 56 pengunjung wanita.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 87 individu berada di pusat hiburan berkenaan membabitkan 62 warga tempatan dan 25 warga asing.

"Mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 4 yang ditetapkan dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan sama turut dijalankan ujian saringan air kencing dan tiga pengunjung didapati positif dadah jenis thc serta methamphetamine.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 7:41 PM