ALIFF. FOTO Arkib NSTP
ALIFF. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, 33, kesal berkongsi krisis rumah tangganya dengan Bella Astillah, 30, khususnya kepada rakan pelakon Ruhainies, 32.

Keterlanjuran itu bagi Aliff mendorong kepada punca dirinya membuat kesilapan padahal ia mampu dikawalnya dengan lebih munasabah.

"Sebagai lelaki, sepatutnya saya kena pikul sendiri masalah ini tanpa perlu hendak buat curahan hati dengan orang lain. Pada ketika ini, saya sangat menyesal kerana perkara ini saya kena kawal.

"Kenapa perlu saya hendak kongsi masalah rumah tangga dengan orang lain. Saya bukanlah seorang yang suka hendak kongsi masalah rumah tangga dengan sesiapa sahaja termasuk gandingan saya dalam drama.

"Ruhainies pun tidaklah bertanya. Hanya kerana tindakan saya bercerita masalah yang berlaku antara saya dengan Bella Astillah, ditambah hari-hari kami 'shooting' bersama membuatkan kami menjadi semakin rapat," katanya.

Pendedahan itu dibuatnya menerusi temubual eksklusif bersama podcast The Common Folks yang disiarkan di saluran YouTube rasmi podcast itu, malam tadi.

Aliff turut membuka mulut mengenai kes ditangkap khalwat dengan Ruhainies namun enggan menyatakan tangkapan itu satu perangkap.

"Apa yang sudah jadi itu benda sudah jadi. Bukan perancangan daripada pihak kami. Untuk kata benda ini perangkapkah, bukan kedudukan saya cakap apa-apa. Saya hanya anggap benda yang berlaku depan mata ini, saya hadap depan mata.

"Sudah kena tangkap, atau apa saja yang orang buat spekulasi, mereka boleh spekulasi atau nak percaya apa yang mereka nak. Untuk saya, lebih kepada 'kenapa'? Saya ada banyak benda 'kenapa', macam mana nak cakap," katanya.

Aliff juga tidak menyalahkan Bella yang dituduh menjadi dalang penangkapan itu. Dia yang sendiri tersilap dan mahu segalanya kekeruhan berkenaan kembali menjadi jernih.

"Apa-apa yang berlaku atas kesilapan saya, saya kena jadi jantan, berdamai dengannya dan usaha teruskan hidup. Tapi susah untuk maju ke depan sebab semuanya hura-hara sekarang.

"Untuk saya, saya tak boleh sentuh benda itu sama ada ia perangkap atau tidak sebab pada akhirnya, saya memang ada sana" katanya.

Pada 9 Mac lalu, nama Aliff Aziz terpalit dengan kontroversi apabila dia dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon Ruhainies.

Susulan itu, kedua-dua pelakon itu menjadi sasaran kemarahan netizen sebelum Aliff dan Ruhainies tampil membuat permohonan maaf namun menafikan dakwaan mereka berkhalwat.

Isteri Aliff iaitu Bella Astillah kemudiannya memfailkan perceraian secara ekspres terhadap Aliff pada 13 Mac lalu namun pelakon itu enggan menceraikannya pada sebutan kes pada 4 April lalu.

Kes perceraian Aliff dan Bella disambung semula pada 4 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 10:58 AM