SALAH alami penurunan prestasi sejak akhir-akhir ini.
SALAH alami penurunan prestasi sejak akhir-akhir ini.
Agensi

London: Mohamed Salah pemain paling mementingkan diri sendiri pernah ditemui, menurut legenda Liverpool Graeme Souness, semalam.

Penyerang Reds itu terus menjadi topik hangat selepas perbalahannya dengan pengurus Jurgen Klopp hujung minggu lalu.

Salah, 31, pada awalnya enggan berjabat tangan dengan Klopp ketika bersiap sedia masuk sebagai pemain gantian yang mengakibatkan kedua-duanya bertelagah di garisan padang.

Souness mendakwa Salah kerap tidak gembira ketika dikeluarkan atau menjadi pemain gantian - sikap yang baginya bagus untuk pemain bagi meningkatkan prestasi mereka.

Namun dia turut menuduh bintang Mesir itu terlalu mementingkan diri sendiri merujuk kepada beberapa insiden dengan seorang lagi bekas bintang Reds Sadio Mane.

Menurut Souness dalam program podcast Up Front: "Lupakan insiden hujung minggu itu, sebelum itu lagi setiap kali dia dikeluarkan dia tak pernah gembira.

"Itu yang anda mahu daripada pemain anda, dia mesin gol dan setiap kali [Sadio] Mane ada di situ, dia akan bermasalah dengannya setiap kali mereka beraksi bersama.

"Saya fikir Salah pemain paling pentingkan diri sendiri pernah saya lihat."

Masa depan Salah di Anfield kini tidak menentu susulan minat tinggi daripada kelab-kelab Arab Saudi dengan bidaan dijangka bermula musim panas ini.

Malah Liverpool bersiap sedia mencari pengganti berpotensi kepada Salah yang meledak 24 gol musim ini dengan pemain Eintracht Frankfurt Omar Marmoush antara disebut-sebut menjadi pilihan.

Marmoush tampil aksi menarik musim ini dengan menjaringkan 15 gol dan mencipta enam bantuan jaringan dalam 33 penampilan semua kejohanan.

Kontraknya di Deutsche Bank Park berakhir pada musim panas 2027 dan ejennya baru-baru ini memberi bayangan dia mungkin mencari destinasi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 11:28 AM