Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Wanita warga asing bertindak biadap apabila mengamuk serta menjerit kepada pihak polis selepas dia ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Pudu, di sini, awal pagi tadi.

Wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an itu bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati ditahan pihak polis kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri.

Difahamkan wanita berkenaan datang ke pusat hiburan berkenaan bersama seorang lelaki tempatan yang turut diperiksa dalam serbuan yang dijalankan 1 pagi hingga 5 pagi tadi.

Wanita terbabit antara 109 pengunjung serta sembilan pekerja pusat hiburan berkenaan yang diperiksa.

Serbuan berkenaan membabitkan enam pegawai serta 16 anggota polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya terpaksa membawa wanita berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut ketika pemeriksaan dijalankan.

"Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan pengunjung sedang leka berhibur dengan iringan muzik kuat. Kami memeriksa 109 pengunjung terdiri daripada 68 lelaki dan 41 wanita selain sembilan pekerja pusat hiburan berkenaan berusia antara 20-an hingga 40-an.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan dua wanita serta seorang lelaki didapati positif dadah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Ashari berkata, pihaknya mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM5,000 kepada setiap pengunjung serta pekerja pusat hiburan berkenaan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, pemilik premis juga dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 atas kesalahan sama (langgar SOP PKPB). Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

"Semakan mendapati premis ini mempunyai lesen, namun ia bukan lesen pusat hiburan. Malah, premis ini pernah diserbu beberapa kali oleh pihak polis," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus patuh pada SOP ditetapkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 1:02 PM
WANITA warga asing yang mengamuk selepas ditahan pihak polis dalam serbuan itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
WANITA warga asing yang mengamuk selepas ditahan pihak polis dalam serbuan itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin