Aizat Sharif


Kangar: Seramai 14 lelaki termasuk tiga warga Thailand ditahan selepas beberapa lokasi untuk melepaskan gian digempur sekitar Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis, Superitendan Chan Ngai Ho berkata, dalam 'Ops Tapis' bermula 9 pagi itu, pihaknya menyasarkan kawasan penempatan nelayan disyaki sering dijadikan sarang penagihan dadah.

Menurutnya, antara lokasi diserbu seperti di Kampung Tengah, Kampung Tanah Baru, Kampung Seberang Tok Pi dan kawasan sekitarnya.

Katanya, majoriti penagih dadah yang ditahan adalah nelayan berusia 19 hingga 42 tahun.

"Ketika ditahan, pelbagai pelbagai taktik cuba digunakan untuk melepaskan diri seperti menyorok di dalam rumah, malah ada juga yang melarikan diri.

"Namun, cubaan mereka berjaya digagalkan kerana anggota sudah bersedia dan kita turut merampas dua 'dapur' iaitu alatan yang biasa digunakan penagih untuk menghisap dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan didapati positif syabu dan mereka memberi alasan menggambil dadah untuk tujuan menambahkan tenaga kerana seharian di laut," katanya.

Operasi itu diketuai oleh Pegawai Turus Risikan/Operasi/Tahanan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superitendan Zolkefli Kalim dengan dibantu tiga pegawai dan 22 anggota polis.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seramai 14 lelaki termasuk tiga warga Thailand diberkas selepas polis menggempur premis kediaman yang dijadikan ‘port’ penagihan dadah di sekitar Kuala Perlis, di Kangar hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
Seramai 14 lelaki termasuk tiga warga Thailand diberkas selepas polis menggempur premis kediaman yang dijadikan ‘port’ penagihan dadah di sekitar Kuala Perlis, di Kangar hari ini. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 2:23 PM