ANTARA individu diberkas. FOTO IHSAN IPD KANGAR
ANTARA individu diberkas. FOTO IHSAN IPD KANGAR
Aizat Sharif


Kangar: Seramai 77 individu diberkas kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kes dadah di Kuala Perlis dan Simpang Empat, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, tangkapan dilakukan menerusi 'Op Jihad Dadah Fasa 1' yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar bermula 23 hingga 29 Oktober lalu.

"Kami melakukan 50 serbuan di beberapa lokasi panas atau 'hotspot' penagihan atau jenayah dadah di sekitar Kuala Perlis dan Simpang Empat selama enam hari operasi itu berlangsung.

"Hasilnya, kami menahan 77 individu berusia antara 20-an hingga 50-an membabitkan kesalahan pengedaran, penagihan dadah termasuklah individu dikehendaki polis berhubung jenayah membabitkan dadah serta penyalahgunaan ketum," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi diadakan bertujuan menggempur sarang pengedar serta penagihan dadah dan ketum yang semakin berleluasa khususnya di kawasan penempatan nelayan yang dikatakan mempunyai ramai penagih dadah.

Menurutnya, ada antara yang ditahan adalah penagih berulang apabila mereka masih berterusan menagih dadah walaupun sudah menjalani hukuman atau pemulihan di penjara atau pusat serenti.

"Selain itu, kami turut merampas dadah jenis heroin dan cecair dipercayai air ketum daripada suspek dan semua tangkapan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

"Manakala tangkapan penagih berulang pula berpotensi dituduh mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tiga sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 8:13 PM