GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Dua nelayan termasuk seorang warga Indonesia dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari bot masing-masing di lokasi berbeza di perairan Kerian, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Mohd Faiz Sujari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai warga Indonesia dikenali sebagai Gong Drong dilaporkan terjatuh dari bot muatan kayu bakau yang terbalik di perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk pada 9.40 malam

Menurutnya, dua lagi rakannya warga tempatan berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke sangkar ikan berhampiran, manakala warga Indonesia itu didapati hilang.

"Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan aset ke lokasi bagi membuat pencarian awal, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

"Sekitar 3 pagi tadi, kami menerima satu lagi maklumat kehilangan nelayan warga tempatan, Cheah Teang Kee, 61, yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Piandang ketika memukat ikan.

"Berdasarkan maklumat diterima, mangsa keluar menangkap ikan pada 2 petang semalam dan komuniti nelayan menjumpai sampan miliknya di kedudukan lapan batu nautika di Barat Tanjung Piandang," katanya ketika ditemui media di Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu seramai 17 anggota penyelamat dengan dibantu

13 nelayan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dua lokasi terbabit.

"SAR masih diteruskan dan kawasan pencarian turut diperluaskan manakala bot gentian kaca yang dijumpai dan disahkan milik mangsa kedua ditunda ke jeti Kampung Nelayan, Kuala Kurau," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan SAR masih lagi dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 1:59 PM