FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DUA lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar memancing di perairan Kuala Kurau, dekat Parit Buntar, dengan menaiki sebuah bot gentian kaca, kelmarin.

Mangsa, Yeap Bee Lun, 55 dan Ong Choo Peen, 56, masing-masing berasal dari Kuala Kurau.

Sehingga semalam, kedua-duanya tidak pulang dan ahli keluarga mereka membuat laporan polis.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Safril Aza Mustapa berkata, susulan itu, pihaknya menggerakkan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

“Pencarian ditumpukan di bahagian utara sepanjang perairan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

“Berdasarkan maklumat, dua lelaki berkenaan keluar memancing petang kelmarin dengan bot gentian kaca berwarna biru dengan enjin berkapasiti 200 kuasa kuda,” katanya.

Menurutnya, sektor pencarian mungkin diperluaskan ke Perairan Pulau Pinang dengan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi turut mengaktifkan SAR.

“Orang ramai khususnya nelayan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diharap segera melaporkan kepada kami di talian 05-727 9919,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 10:58 AM