PATI ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM.
PATI ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DUA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas pemeriksaan mendapati mereka bekerja tanpa permit sah di sebuah sangkar ikan berhampiran Tanjung Piandang, Kuala Kurau, 8 pagi semalam.

PATI berusia 20 dan 25 tahun ditahan pasukan Zon Maritim Kuala Kurau yang melakukan rondaan dan pemeriksaan di sangkar ikan berkenaan terletak pada jarak 1.5 kilometer dari Tanjung Piandang.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Safril Aza Mustapa berkata, PATI berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah ketika diminta berbuat demikian.

“Mereka dibawa ke Zon Maritim Kuala Kurau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pengusaha sangkar ikan diingatkan supaya tidak mengupah PATI kerana ia adalah perbuatan menyalahi undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Safril berkata, pihaknya melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi mengesan kehadiran PATI sekitar perairan Kerian dan Larut Matang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 2:38 PM