MAYAT pertama warganegaranya Indonesia ditemui terapung pada kedudukan 0.6 batu nautika di Perairan Kuala Gula, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MAYAT pertama warganegaranya Indonesia ditemui terapung pada kedudukan 0.6 batu nautika di Perairan Kuala Gula, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Nelayan warga Indonesia yang dilaporkan hilang, semalam ditemui pada kedudukan 0.6 batu nautika di perairan Kuala Gula tidak jauh dari lokasi bot mangsa terbalik, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Mohd Faiz Sujari berkata, mayat mangsa ditemui terapung tanpa baju pada 11.59 pagi tadi.

Menurutnya, ia kemudian dibawa ke Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM), Kuala Kurau dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Pengecaman mayat sudah dibuat oleh rakan mangsa yang turut sama terjatuh dalam kejadian semalam.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi nelayan tempatan Cheah Teang Khee, 61, yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Piandang, semalam masih dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan dua nelayan termasuk warganegara Indonesia hilang di dua lokasi berbeza di perairan Kuala Gula dan Tanjung Piandang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 3:05 PM