MAQIS Johor menggagalkan cubaan  membawa masuk kayu bernilai RM542,286.43 dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah. FOTO ihsan MAQIS Johor
MAQIS Johor menggagalkan cubaan membawa masuk kayu bernilai RM542,286.43 dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah. FOTO ihsan MAQIS Johor
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menggagalkan cubaan membawa masuk kayu bernilai lebih RM540,000 dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguat kuasa MAQIS pada jam 2.30 petang itu mendapati konsainan yang dibawa menemui kayu Betula Chinensis seberat 104 tan yang dimuatkan dalam empat kontena berasingan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua konsainan itu tidak menjalankan rawatan haba pada takat suhu 56 darjah celcius untuk tempoh minimum 30 minit sebagaimana dinyatakan dalam permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS.

“Rawatan haba itu bertujuan untuk mencegah daripada perosak atau penyakit.

“Dagangan berkenaan dipercayai dibawa untuk pasaran tempatan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, kesemua dagangan ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) Akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS terus komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi aktiviti pengimportan keluaran pertanian di pintu masuk negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 2:39 PM