Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi pembelian kamera badan untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih itu, moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan ketika melakukan operasi dan penugasan.

"Walaupun negara sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, kerajaan tetap prihatin menjaga kebajikan dan komited untuk terus melindungi warga PDRM.

"Bagi tahun ini, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), tidak kira sama ada kepada penerima pingat yang sedang bertugas atau sudah bersara daripada perkhidmatan.

"Pemberian imbuhan ini akan dimanfaatkan oleh lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Muhyiddin berkata, bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk meletakkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggungjawab PDRM.

"Menerusi Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah lain.

"Langkah ini bertujuan bagi menstruktur semula dan memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara," katanya.

MUHYIDDIN diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memeriksa barisan di Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke 214 Tahun 2021 di padang kawad, PULAPOL. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHYIDDIN diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memeriksa barisan di Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke 214 Tahun 2021 di padang kawad, PULAPOL. FOTO Eizairi Shamsudin

Menurutnya, kerajaan percaya strategi meletakkan peranan AKSEM di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal menyekat pencerobohan masuk warga asing ke dalam negara dengan lebih berkesan dan efisien, terutamanya ketika penularan pandemik Covid-19.

"Pada kesempatan ini, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM bersama agensi dan jabatan kerajaan lain yang telah mengawal sempadan negara daripada dibolosi oleh warga asing dalam beberapa operasi berterusan yang dijalankan seperti Op Pasir dan Op Benteng.

"Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan dikerahkan untuk penugasan Op Covid-19, PDRM tetap berjaya mengimbangi keutamaan perkhidmatan pasukan memerangi jenayah serta mengekalkan rasa selamat dalam kalangan rakyat sekali gus memastikan keamanan negara. Mereka adalah antara 'the real frontliners' (barisan hadapan sebenar) yang bertungkus lumus mengekang penularan Covid-19,"katanya.

Katanya, selain melengkapkan pasukan PDRM dengan aset, peralatan dan senjata canggih serta terkini, PDRM juga harus memperkasakan keupayaan anggota dalam menguasai perundangan negara.

"Oleh yang demikian, bagi memperoleh pendedahan dan perkongsian yang lebih global dan terkini, PDRM harus mempertingkatkan lagi penyertaan anggota serta pegawai PDRM dalam latihan, kursus atau persidangan yang dianjurkan bukan hanya di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.

"Kolaborasi dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang dijalinkan oleh PDRM selama ini mampu meletakkan pasukan keselamatan negara ini sebaris dengan pasukan keselamatan dari negara luar seperti Scotland Yard, Royal Military Police United Kingdom dan Hong Kong Police Force,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 10:07 AM