KOPERAL Umbat bergambar bersama Urby selepas menerima pingat. FOTO ihsan polis.
KOPERAL Umbat bergambar bersama Urby selepas menerima pingat. FOTO ihsan polis.
Khairul Najib Asarulah Khan


ANJING pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernama Urby menerima pingat atas kejayaan bersama pengendali, Koperal Umbat Selan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menyelesaikan satu kes jenayah di Banting, Selangor, Oktober lalu.

Menerusi perkongsian Facebook PDRM, kepintaran anjing berusia 12 tahun baka German Shepherd itu terserlah apabila berjaya menemukan mayat warga Bangladesh di kawasan semak selepas mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu.

Penyampaian surat penghargaan dan pingat kepada Koperal Umbat dan Urby itu berlangsung dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Pemegang Unit Anjing Pengesan (K9) Siri 1/2019 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ Bukit Aman, Datuk Salehhudin Abd Rahman yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan tahniah kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

“Kejayaan peserta menamatkan kursus membuktikan tiada perkara mustahil untuk dikecapi sekiranya ia dilakukan dengan kesungguhan dan kesabaran tinggi.

“K9 memainkan peranan penting dalam tugasan serta operasi PDRM dengan menjadi penyumbang dalam penyelesaian kes jenayah berprofil tinggi sejak ia ditubuhkan pada 1968,” katanya.

Kursus bermula 12 Ogos hingga hari ini membabitkan 43 anggota JSJ dari 21 Seksyen Unit K9 seluruh negara dalam mempersiapkan mereka dengan ilmu pengetahuan asas pengendalian anjing dan tugas kepolisan di samping memupuk nilai peribadi baik sebagai pengendali K9.

Pada 12 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan polis berjaya menemui mayat mangsa berusia 35 tahun di tepi semak iaitu kira-kira 100 meter dari kolam di Jalan Tali Air, Dusun Durian di Kuala Langat dengan bantuan K9.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 4:36 PM