Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Langit tidak selalunya cerah. Begitu perumpamaan buat ibu kepada lima anak apabila suaminya yang menjadi tulang belakang kepada keluarga kini terlantar koma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, September lalu.

Nor Fatihah Ismail, 34, berkata, suaminya Mohd Bukhori Abd Rahman, 37, yang bekerja sebagai jurukimpal terbabit dalam kemalangan di Salor pada 6 September lalu selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Katanya, akibat kemalangan itu, suaminya mengalami pendarahan dalam kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala sebelah kanan bagi membuang darah beku selain tiga tulang rusuk sebelah kiri juga patah dan dalam masa lehernya juga terpaksa ditebuk untuk saluran pernafasan.

"Ketika itu, selama 50 hari saya terpaksa berkampung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dalam tempoh itu, suami saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 30 hari sebelum dipindahkan ke wad dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Sejak itu, suami berada dalam keadaan koma dan setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT agar urusan membesarkan lima anak berusia antara lapan bulan hingga 14 tahun dipermudahkan," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Sri Kemboja, Binjai, di sini.

Nor Fatihah berkata, dia yang sebelum ini membuka gerai menjual mi sup terpaksa ditutup kerana mahu menjaga serta memberi sepenuh perhatian kepada suaminya yang terlantar selain tidak mahu keperluannya terabai.

"Namun, bagi meneruskan kelangsungan hidup, sejak seminggu yang lalu saya memproses ikan bengkak dengan upah yang diberikan RM2 bagi sekilogram ikan dan dalam sehari mampu memproses sehingga 25 kilogram.

"Dengan upah yang diperoleh ini sekadar cukup makan untuk kami tujuh beranak dan ada ketikanya jiran terdekat dan saudara mara menghulurkan bantuan barangan keperluan asas yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Mujurlah segala keperluan suami seperti susu dan lampin pakai buang ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama enam bulan dan setiap sebulan sekali saya akan ke pejabat Perkeso untuk mengambil barang keperluan ini.

"Saya berharap bantuan keperluan yang diberikan oleh Perkeso ini dapat diteruskan selepas tempoh enam bulan kerana kos untuk membeli susu sahaja mencecah RM1,500 sebulan memandangkan susu yang berharga RM97.20 setin hanya mampu bertahan untuk tempoh dua hari sahaja," katanya.

Katanya, dalam masa sama, dia juga bersyukur kerana suaminya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan yang boleh digunakan untuk perbelanjaan kos perubatan yang lain, manakala empat lagi anak yang bersekolah masing-masing mendapat RM100 sebulan yang dapat digunakan untuk perbelanjaan persekolahan mereka.

"Bagaimanapun, saya perlu jimat berbelanja kerana perlu membayar bil utiliti serta sewa rumah RM200 sebulan," katanya.

Ibu kepada lima anak ini berkata, rutin hariannya turut berubah apabila perlu menguruskan segala keperluan suaminya yang terlantar termasuk memberi susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung sebanyak lima kali sehari setiap empat jam sekali selain mengelap badan dan menukar lampin pakai buang.

"Selain itu, saya juga perlu membawa suami menjalani rawatan fisioterapi setiap dua minggu sekali serta berjumpa dengan pakar neurologi setiap tiga bulan sekali di HUSM Kubang Kerian.

"Saya menganggap dugaan dan cabaran yang dilalui sekarang ini sebagai sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menjadi lebih kuat bagi membesarkan anak serta menjaga suami yang kini terlantar," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Nor Fatihah di talian 010-7078939.

NOR Fatihah bersama tiga anaknya di sisi Mohd Bukhori yang terlantar koma. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NOR Fatihah bersama tiga anaknya di sisi Mohd Bukhori yang terlantar koma. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 10:33 AM