Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang wanita tabah meneruskan kehidupan seharian termasuk menjaga suaminya yang kini terlantar akibat kemalangan jalan raya di Lubok Jong, Pasir Mas pada Mac lalu.

Norhashehini Mat Yusof, 44, berkata kehidupan keluarga mereka berubah apabila suaminya, Syafuddin Kamaruzaman, 34, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga di sebuah pasar raya di Tunjong.

Menurutnya, akibat kejadian suaminya yang sebelum ini mengambil upah memotong kayu getah mengalami pendarahan di kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala sebelah kanan selain patah tangan kanan.

"Selama sebulan suami saya berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

"Melihat keadaan suami pada ketika itu yang tidak ada perubahan, saya meminta kebenaran kepada pihak hospital untuk membawanya pulang ke rumah dan setiap hari berdoa agar suami kembali sedar.

"Alhamdulillah pada awal Syawal baru-baru ini suami mulai sedar daripada koma, namun perlu bergantung sepenuhnya kepada tiub pernafasan yang dipasang di bahagian tengkuk," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mertuanya di Padang Enggang, di sini.

Norhashehini menguruskan suaminya, Syafuddin yang terlantar akibat kemalangan jalan raya ketika ditemui di Kampung Padang Enggang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Norhashehini menguruskan suaminya, Syafuddin yang terlantar akibat kemalangan jalan raya ketika ditemui di Kampung Padang Enggang. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Norhashehini berkata, dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan makanan terpaksa berehat sementara bagi menguruskan suaminya yang memerlukan penjagaan rapi.

Menurutnya, suaminya hanya minum susu menggunakan tiub yang dipasang di hidungnya setiap empat jam sekali.

"Setiap bulan saya perlu membelanjakan hampir RM2,000 untuk membeli keperluan suami termasuk lampin pakai buang dan susu khas berharga RM98 setin yang mampu bertahan untuk tempoh tiga hari selain kos tambang ambulans setiap kali menghadiri temujanji di hospital.

"Justeru, demi kelangsungan hidup bersama anak berusia 14 tahun, saya hanya bergantung kepada wang simpanan dan kami terpaksa berjimat cermat," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03007-41-00012214-3 atas nama Norhashehini Mat Yusof atau menghubunginya di talian 013-9450724.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 11:44 AM