Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Wanita orang kurang upaya (OKU) fizikal berdepan dugaan apabila mengambilalih tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Hasniza Abdul Rahman, 48, berkata, suaminya Kamal Md Daud, 44, lumpuh bahagian kanan badan diserang angin ahmar pada Mac 2019 akibat komplikasi penyakit darah tinggi dihidapinya.

Menurutnya, berikutan itu dia mengambil upah menjahit selain menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan bagi menampung keluarga.

"Upah menjahit yang diperoleh ketika ini tidak menentu dan paling banyak pun sekitar RM200 sebulan, namun saya tetap bersyukur kerana ada juga wang untuk kami mengalas perut.

"Bagi keperluan suami termasuk lampin pakai buang dan susu, saya memperuntukkan lebih RM600 sebulan, namun mujur ada wang sedekah diberikan orang ramai," katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Banggol Cantik, Labok, di sini, hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 13 tahun berkata, dia yang juga menghidap penyakit asma kronik sejak kecil tidak mampu melakukan kerja berat.

"Jika asma menyerang, saluran pernafasan saya akan menjadi sempit, dada bertambah sesak dan tidak boleh melakukan sebarang kerja," katanya.

HASNIZA (kanan) yang juga OKU fizikal mengambil upah menjahit untuk menyara keluarga selepas suaminya terlantar sakit. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HASNIZA (kanan) yang juga OKU fizikal mengambil upah menjahit untuk menyara keluarga selepas suaminya terlantar sakit. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Katanya, rutin hariannya setiap pagi adalah menguruskan suami dan anak-anak sebelum menyiapkan tempahan baju pelanggan.

"Sejujurnya, ada masa saya tidak dapat menahan air mata mengenangkan nasib kami selain risau dengan keadaan suami.

"Suami hampir setiap hari menangis, mungkin sedih melihat saya perlu menguruskannya, selain rindu untuk bermesra dengan anak-anak seperti dulu.

"Saya menganggap kesusahan yang dihadapi kami sekeluarga sebagai ujian dan dalam masa sama, tidak pernah putus berdoa supaya suami kembali sihat," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Hasniza di talian 011-19286356.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 2:32 PM