Hazira Ahmad Zaidi


Machang: "Sebelum ini Mia membesar seperti kanak-kanak lain, namun selepas menjalani pembedahan ketika berusia setahun terlantar dia serta berada dalam koma dan hanya mata sahaja yang berkelip sehingga ke saat ini," kata Rusnani Mat Ghani, 46.

Rusnani berkata, anaknya Adamia Fitri Mat Rahim yang kini berusia tujuh tahun perlu bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan melalui saluran tiub yang dipasang di bahagian perut, selain lehernya juga ditebuk untuk saluran pernafasan dan membuang kahak.

"Sejak Mia terlantar, anak ketiga, Ayu Suhada, 22, mengambil keputusan untuk menamatkan persekolahan ketika berada di tingkatan tiga kerana mahu bersama-sama membantu menjaga Mia yang memerlukan sepenuh perhatian.

"Walaupun saya sudah beberapa kali menasihatinya supaya meneruskan persekolahan demi masa depannya, namun Ayu Suhada tetap dengan pendiriannya kerana tidak mahu kesihatan saya terganggu dan pengorbanan yang dilakukannya itu terlalu besar sehingga sanggup mengenepikan kepentingan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah, di sini.

Menceritakan semula keadaan Adamia Fitri, Rosnani berkata, anak bongsunya itu dilahirkan secara pembedahan kerana pada ketika itu mempunyai fibroid dan ketika proses kelahiran anaknya lemas dan mengalami komplikasi paru-paru.

"Disebabkan itu, Mia terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selama 15 hari dan dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah dan disahkan menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP).

"Bagaimanapun, ketika berusia 12 bulan, doktor terpaksa melakukan pembedahan ke atas Mia untuk memasang tiub pada bahagian perut bagi memudahkan susu disalurkan kerana beratnya hanya tiga kilogram sahaja dan tidak membesar seperti kanak-kanak seusianya," katanya.

Ibu kepada lima anak ini berkata, dia tidak lupa dengan kejadian pada 2015 apabila jantung Adamia Fitri tidak berdegup selama lebih sejam dan doktor mengesahkan anaknya itu sudah meninggal dunia selepas sehari menjalani pembedahan pada bahagian perut bagi memasang tiub.

"Ketika itu, saya dan suami, Mat Rahim Mat Hassan, 54, reda sekiranya Allah menjemput anak syurga kami lebih awal, namun, Alhamdulillah dengan kuasa Allah, keajaiban berlaku apabila denyutan nadinya kembali.

"Namun, perkembangannya itu hanya mampu bertahan sebulan sebelum sekali lagi jantungnya berhenti buat kali kedua selama 45 minit dan melalui ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan kedua-dua belah otak Mia lumpuh yang menyebabkannya koma hingga sekarang," katanya sebak.

Rusnani turut meluahkan kebimbangan berhubung keperluan Adamia yang sukar ditanggung kerana suaminya hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

"Kami membelanjakan RM1,000 sebulan untuk keperluan Mia termasuk lampin pakai buang, peralatan perubatan selain susu yang berharga RM166 sekotak yang mampu bertahan untuk lapan hari sahaja.

"Mujurlah Mia mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung kerana mempunyai seorang lagi anak yang masih bersekolah," katanya.

Katanya, setiap tiga bulan sekali, anaknya itu perlu menjalani rawatan rehabilitasi selain berjumpa pakar kanak-kanak di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk perkembangan kesihatannya.

"Di sebalik keadaan Mia yang terlantar koma, saya dan suami tidak mengeluh kerana dia adalah anugerah Allah yang paling indah untuk kami sekeluarga selain menguji kesabaran untuk membesarkan amanah itu dengan penuh kasih sayang," katanya.

RUSNANI memberi susu kepada Adamia Fitri yang menghidap Cerebral Palsy (CP) dan paru-paru kronik. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
RUSNANI memberi susu kepada Adamia Fitri yang menghidap Cerebral Palsy (CP) dan paru-paru kronik. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 11:12 AM