WAE Aida dan Nik Abdul menguruskan Hasan yang koma hampir dua bulan. FOTO Siti Rohana Idris
WAE Aida dan Nik Abdul menguruskan Hasan yang koma hampir dua bulan. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Tidak hanya dirinya menderita penyakit Talasemia, ujian semakin bertambah apabila perlu menguruskan bapa yang terbaring koma sejak hampir dua bulan lalu.

Dugaan itu dialami Wae Aida Hasan, 28, dari Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu, di sini yang menghidap Talasemia sejak lahir malah penyakit yang sama turut dialami adik lelakinya yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

Wae Aida berkata, dia kini perlu menguruskan bapanya, Hasan Mohamad, 63, yang terlantar tidak sedarkan diri akibat diserang strok penghujung November lalu.

"Sebelum ini bapa saya tinggal berseorangan di rumah sewa dan disebabkan serangan strok yang membuatkannya koma sehingga kini, saya membawanya tinggal bersama di rumah mentua.

"Alhamdulillah, saya dikurniakan ibu serta bapa mentua yang sangat baik dan bertimbang rasa untuk menumpangkan bapa yang sakit di rumah mereka.

"Lagipun ayah langsung tidak sedarkan diri dan jika bukan saya yang menjaganya, siapa lagi yang boleh diharapkan kerana dia sudah tiada sesiapa lagi," katanya ketika ditemui di sini.

Wae Aida berkata, bapanya sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit dan secara tiba-tiba sahaja diserang strok malah sebahagian daripada tempurung kepalanya juga dibuang untuk mengeluarkan darah beku.

Katanya, walau dirinya juga menderita sakit, dia perlu kuat dan cuba sedaya upaya menguruskan bapa dengan bantuan suaminya, Nik Abdul Hadi Nik Him, 26.

"Saya perlu menjalani rawatan pemindahan darah sebulan sekali di hospital dan jika lewat beberapa hari akan memudaratkan diri serta berisiko mengancam nyawa.

"Mujurlah suami juga membantu saya menjaga ayah termasuk memberi susu khas, membuang kahak dan menukar lampin pakai buang," katanya yang juga mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun dan bebas Talasemia.

Wae Aida berkata, perbelanjaan mengurus untuk bapanya agak tinggi bagi mereka kerana suaminya hanya bekerja sebagai tukang rumah sahaja dan setakat ini hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga sahaja.

Menurutnya lagi, susu khas yang dibeli dengan harga RM120 setin hanya bertahan lima hari sahaja dan lebih RM1,000 diperlukan setiap bulan termasuk pembelian lampin pakai buang.

"Setakat ini sanak saudara sangat memahami tapi sampai bila kami perlu mengharapkan ehsan mereka kerana doktor memberitahu sekurang-kurangnya enam bulan masa diambil untuk bapa menunjukkan perkembangannya," katanya yang boleh dihubungi di talian 0179064893.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 11:57 AM