Nik Ezanee Mohd Faisal (dua dari kanan) ketika sidang media. FOTO ASWADI ALIAS.
Nik Ezanee Mohd Faisal (dua dari kanan) ketika sidang media. FOTO ASWADI ALIAS.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PREMIS hiburan di daerah Petaling Jaya, dilihat tidak 'sabar' untuk kembali beroperasi apabila sanggup melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan beroperasi secara bersembunyi.

Semua pemilik premis yang melanggar peraturan itu didapati menggunakan pintu belakang atau 'jalan tikus' untuk menyeludup masuk individu sebelum berhibur didalam premis.

Terbaru, tiga premis dengan keseluruhan tangkapan seramai 175 individu ditahan dan dikompaun kerana melanggar PKPB.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tiga premis hiburan yang diserbu adalah di Sungai Way, Damansara dan Seapark.

"Semua premis berkenaan diserbu dari 1 hingga 3 Jun lalu susulan maklumat awam dari komuniti setempat.

"Pemeriksaan di semua pusat hiburan terbabit mendapati semua individu datang untuk berhibur dan melakukan aktiviti sosial,"katanya pada sidang media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semua mereka dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti setempat kerana sering membantu polis dalam menyalurkan maklumat.

"Pemilik premis juga dinasihatkan supaya patuh kepada arahan yang ditetapkan kerajaan pada tempoh PKPB ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 5:44 PM