ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keasyikan pengunjung pusat hiburan berhibur sambil ditemani pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam di Kuchai Entrepreneurs Park, di sini, terbantut apabila premis itu diserbu polis, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2.45 pagi itu, seramai 19 warga asing dan 31 pengunjung ditahan sebelum dikompaun melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya menahan seorang wanita berusia 44 tahun dipercayai pengurus premis bersama lelaki Bangladesh, lima lelaki dan 13 wanita Vietnam disyaki pekerja serta GRO di premis berkenaan berusia antara 18 hingga 41 tahun.

Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati premis itu dibuka tanpa lesen perniagaan sah.

"Dalam serbuan itu juga polis menahan 31 pengunjung berusia 20 hingga 50 tahun yang mana mereka berada di dalam premis itu melebihi masa ditetapkan dalam tempoh PKPP.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis mengaji pekerja warga asing dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

"Suspek warganegara asing ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini sehingga 25 September manakala 31 pengunjung dikenakan kompaun RM1000 setiap seorang," katanya.

Katanya, dia meminta pemilik pub atau bar supaya tidak menggaji pekerja asing yang tiada dokumen atau permit kerja sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 9:15 PM