ANGGOTA penguat kuasa direman bagi membantu siasatan menerima suapan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA penguat kuasa direman bagi membantu siasatan menerima suapan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Dua anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman bagi membantu siasatan menerima suapan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori.

Perintah reman selama tiga hari itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah selepas suspek dibawa ke mahkamah pagi ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Suzeliyana Hashim berkata, suspek berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan jam 5 petang semalam di pejabat SPRM selepas dipanggil membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan berkenaan sejak 2018 hingga 2019 dengan anggaran nilai suapan mencecah RM88,000.

"Siasatan masih dijalankan dan kita menjangkakan akan ada tangkapan lagi selepas ini," katanya kepada media hari ini.

Katanya, penahanan suspek adalah susulan daripada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun dua hari lalu di pejabat SPRM Perlis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 12:09 PM