Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Dua lelaki yang diburu polis selepas terbabit rompakan bersenjatakan parang di dua stesen minyak di Kangar dan Changlun, Kedah minggu lalu diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, penahanan dua lelaki berusia 32 dan 37 tahun itu dilakukan di dua lokasi di Derang, Kedah pada 5 dan 6.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat awal, dua lelaki itu mengaku terbabit dalam rompakan bersenjatakan parang di daerah ini dan Changlun.

"Kedua suspek ditahan di dua rumah yang berbeza dalam kawasan Derang, Kedah dan motosikal berkuasa tinggi yang digunakan ketika merompak turut ditemui di salah sebuah rumah.

"Malah hasil pemeriksaan ke atas rekod motosikal terbabit mendapati ia adalah motosikal curi dan dilaporkan hilang di Sungai Besi, Kuala Lumpur awal bulan ini selain menggunakan nombor pendaftaran palsu sewaktu digunakan kedua lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedua suspek direman tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Pada 9 September lalu, media melaporkan polis memburu dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang terbabit dalam kejadian rompakan bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Kangar seawal 6.20 pagi.

Kedua suspek berpura-pura masuk ke stesen minyak dan membeli barangan runcit di dalam kedai sebelum seorang perompak mengacukan parang kepada pembantu kedai dan melarikan wang RM1,200.

DUA lelaki (baju putih dan belang merah putih) direman tujuh hari. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
DUA lelaki (baju putih dan belang merah putih) direman tujuh hari. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Berita berkaitan:

  • Perompak bermotosikal kuasa tinggi diburu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 11:37 AM