Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Operasi pemadaman kebakaran di Pasar Datuk Keramat, di sini, masih lagi dijalankan pasukan bomba.

Setakat jam 7 malam tadi, semua premis di pasar berkenaan sudah dikosongkan pemilik.

Manakala, jalan utama menuju pasar berkenaan juga kini ditutup sementara waktu untuk orang awam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, lebih 40 gerai terletak di dalam pasar besar itu musnah dijilat api.

Difahamkan, majoriti peniaga di kawasan pasar itu adalah di kalangan Bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan orang ramai dan peniaga gempar apabila Pasar Datuk Keramat yang berusia lebih 50 tahun itu terbakar.

Jurucakap bomba berkata, jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Setapak, BBP KLCC, BBP Hang Tuah dan BBP Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran, bagaimanapun berjaya dikawal sekitar jam 6.30 petang tadi.

Kejadian itu tular di media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadamkan kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.

Berita berkaitan

Pasar besar Datuk Keramat terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:35 PM