Keadaan di kawasan sekitar Pasar Datuk Keramat yang hangus terbakar pada petang semalam. Foto Hazreen Mohamad
Keadaan di kawasan sekitar Pasar Datuk Keramat yang hangus terbakar pada petang semalam. Foto Hazreen Mohamad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kebakaran lebih 40 kedai di Pasar Datuk Keramat di sini, petang semalam tiada unsur sabotaj, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi.

Beliau berkata, pihaknya tidak menemui sebarang faktor yang boleh membawa kepada perbuatan sabotaj seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.

"Api merebak dengan begitu pantas kerana bahan binaan gerai berkenaan terdiri daripada kayu. Selain itu, punca awal kebakaran dipercayai daripada elektrik namun siasatan terperinci masih dijalankan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad bagi mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di pasar itu hari ini mendapati peniaga yang terjejas akibat kebakaran sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di premis masing-masing.

Selain itu, terdapat peniaga yang kelihatan sibuk mengisi borang tuntutan kerugian premis untuk diserah kepada wakil Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan bagi tindakan selanjutnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Semalam, lebih 40 kedai di Pasar Datuk Keramat terbakar namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Berita berkaitan

Pasar besar Datuk Keramat terbakar [METROTV]

Kebakaran Pasar Datuk Keramat: Kaunter pusat bantuan dibuka

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 9:00 PM