Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat, di sini, terbakar lagi, awal pagi tadi, selepas kejadian sama berlaku di kawasan berkenaan pada Mac tahun lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.30 pagi tadi.

"Seramai 47 anggota bersama 14 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kebakaran mendapati lot kedai di pasar berkenaan dengan keadaan api sangat marak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kemusnahan akibat kebakaran di pasar berkenaan, dianggarkan kira-kira 50 peratus.

"Kebakaran itu turut membabitkan sebahagian rumah berhampiran yang dianggarkan musnah kira-kira 10 peratus.

"Kebakaran itu marak dengan besar disebabkan bahan binaan kedai berkenaan yang terdiri daripada kayu," katanya.

Menurutnya, kebakaran itu berjaya dikawal jam 2.11 pagi dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 40 kedai di Pasar Keramat, terbakar pada 17 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memaklumkan pihaknya tidak menemui sebarang faktor yang boleh membawa kepada perbuatan sabotaj seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial dalam insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 8:19 AM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran beberapa lot kedai di Pasar Keramat, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran beberapa lot kedai di Pasar Keramat, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.