Antara kedai musnah dalam kebakaran di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Antara kedai musnah dalam kebakaran di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Peniaga bukan saja diuji kurang pelanggan kerana Covid-19, namun kini mata pencarian lenyap sekelip mata," luah Kasmawati Ahmad.

Kasmawati, 51, adalah pemilik gerai ikan bakar Mak Teh di Pasar Datuk Keramat yang musnah dalam kebakaran pada 5.10 petang hari ini.

Kebakaran itu memusnahkan 40 gerai dengan nilai kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas apabila api marak sehingga tidak dapat dikawal walaupun mereka berusaha untuk memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.

"Ada percikan api di satu daripada gerai sebelum merebak memusnahkan gerai lain dengan pantas.

"Saya hanya sempat keluarkan tong gas kerana bimbang meletup selain hasil jualan hari ini manakala peralatan memasak dan bahan mentah musnah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun berniaga kini buntu kerana punca rezeki utama keluarganya kini hilang.

Katanya, kejadian itu dianggap ujian Allah SWT dan berharap kerosakan dapat dibaiki secepat mungkin bagi membolehkan dia meneruskan semula perniagaan terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

"Bomba mengalami kesukaran memadamkan kebakaran kerana struktur gerai yang rapat dan dibina menggunakan kayu.

"Bomba masih meneruskan operasi pemadaman setakat ini dan punca kejadian akan disiasat pasukan forensik kebakaran," katanya.

Berita berkaitan

Pasar besar Datuk Keramat terbakar

Operasi pemadaman Pasar Datuk Keramat masih dilakukan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 8:24 PM