Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Kebakaran yang memusnahkan lebih 40 tapak gerai di Pasar Datuk Keramat, di sini, pada 17 Mac lalu ternyata memberi tamparan hebat kepada peniaga yang terjejas.

Rata-rata peniaga meluahkan rasa sedih dengan kejadian itu apatah lagi ianya berlaku dalam fasa perniagaan mulai pulih semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Peniaga barangan dan baju terpakai, Mohamad Aliridza Abdul Latiff, 59, berkata dia dan rakan peniaga lain berasa lega apabila dapat meneruskan perniagaan mereka di tapak asal sepanjang Ramadan nanti.

"Dengan adanya bantuan khemah sementara yang sedang didirikan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini, pastinya sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami.

"Saya juga berharap orang ramai dapat menyokong perniagaan kami ketika Ramadan nanti kerana tempoh itulah untuk kami berusaha menstabilkan semula kewangan selepas kerugian puluhan ribu ringgit," katanya ketika ditemui di Pasar Datuk Keramat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerahkan bantuan berjumlah RM82,500 kepada Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKM) untuk disalurkan kepada peniaga yang terjejas.

Mohamad Aliridza yang sudah berniaga lebih 40 tahun di pasar bersejarah itu berkata, kebakaran terbabit disifatkan sebagai kejadian kali kedua yang terburuk pernah berlaku.

"Saya juga tidak sangka ia berlaku lagi apatah lagi dalam situasi sekarang. Sebelum ini, kebakaran pada 2004 lalu memusnahkan 14 gerai termasuk premis saya tetapi pada waktu itu kerugian tidak sebanyak sekarang," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Saadom Mat Taki, 69, berkata dia menyambut baik usaha kerajaan dan agensi berkaitan dalam memastikan lokasi pasar itu dipelihara.

"Pasar Datuk Keramat ini mempunyai sejarah tersendiri dan boleh dikatakan ianya adalah simbolik kepada pasar tradisional Melayu.

"Saya berharap tapak asal pasar ini terus dikekalkan bagi memberi peluang kepada peniaga Melayu mencari rezeki dalam masa sama meningkatkan ekonomi orang kita," katanya.

Pada masa sama, tinjauan Harian Metro mendapati hampir kesemua peniaga yang terbabit dalam kebakaran itu hadir menyaksikan proses pembersihan dan merobohkan gerai oleh kontraktor, hari ini.

SAADOM menunjukkan tapak kedai miliknya yang musnah akibat kebakaran. FOTO Aziah Azmee
SAADOM menunjukkan tapak kedai miliknya yang musnah akibat kebakaran. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 3:36 PM