KAMARIAH menjaga cucu, Muhammad Nabil Haikal yang terlantar akibat kemalangan jalan raya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KAMARIAH menjaga cucu, Muhammad Nabil Haikal yang terlantar akibat kemalangan jalan raya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan bagi seorang peniaga nasi lemak yang bukan sahaja terpaksa menutup perniagaan untuk menjaga cucunya yang terlantar akibat kemalangan, malah diuji lagi apabila suaminya mengalami strok.

Kamariah Asmawi @ Ismail, 63, berkata, cucunya Muhammad Nabil Haikal Jamaluddin, 18, terbabit kemalangan pada September tahun lalu manakala suami, Abu Hasan Awang, 64, diserang strok pada 9 Mac lalu.

Bercerita lanjut, Kamariah yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia tidak menduga Allah mengujinya dengan menjaga dua insan kesayangan yang terlantar sakit.

" Selama 30 tahun saya dan suami berniaga nasi lemak di Parit 8 Timur, dalam sekelip mata Allah uji saya untuk jaga Nabil yang terbabit kemalangan. Apabila saya tutup perniagaan (untuk beri tumpuan kepada cucu), suami pula diserang strok.

"Nabil terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tiga kali di kepala untuk mengeluarkan darah beku. Tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan sementara disebabkan kecederaan dialami selain bahagian badan sebelah kiri iaitu dari tangan sampai kaki tidak boleh digerakkan buat sementara waktu.

"Suami pula strok sebelah kanan badan yang menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan hanya mampu terlantar di atas katil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Kasih Parit 8 1/2 Barat, di sini, hari ini.

KAMARIAH menjaga suami, Abu Hasan yang terlantar akibat serangan strok di rumah mereka di Desa Kasih Parit 8 1/2 Barat. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KAMARIAH menjaga suami, Abu Hasan yang terlantar akibat serangan strok di rumah mereka di Desa Kasih Parit 8 1/2 Barat. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Terdahulu, keluarga ini menerima kunjungan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar Ahmad Zhafri Md Noor.

Kamariah berkata, selepas tidak bekerja, dia menguruskan keperluan seharian Muhammad Nabil Haikal manakala dua anak perempuannya, Haslina, 39 dan Nor Hasliza, 41, pula menguruskan bapa mereka.

"Dalam masa sama, kedua-dua mereka (Muhammad Nabil Haikal dan suami) minum susu khas menggunakan tiub yang berharga RM30 satu tin dan ia mampu bertahan dua hari.

"Bagaimanapun, saya bersyukur Nabil mendapat bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas kemalangan itu.

"Selagi kudrat masih mampu, saya akan uruskan mereka berdua dan kepada Allah jualah saya berserah segalanya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB (7631785638) atas nama Muhammad Nabil Haikal Jamaluddin atau menghubungi Kamariah di talian 017-3091134.

Sementara itu, Ahmad Zhafri berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa Kamariah sekeluarga dan menyalurkan barangan keperluan dapur untuk meringankan beban yang ditanggung.

"Apabila kedua-dua insan tersayang jatuh sakit, beliau (Kamariah) terpaksa menjaga mereka serentak menyebabkan mata pencariannya tiada.

"Saya mengharapkan pemimpin tempatan agar membantu keluarga ini. Bukan sekadar bantu sebulan atau setahun, tetapi cari jalan agar mereka terus menikmati kebajikan dari pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:26 PM