SITI Zarina (kiri) mengadakan kelas memasak ke rumah Kamariah.
SITI Zarina (kiri) mengadakan kelas memasak ke rumah Kamariah.

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

[email protected]

“Saya memang sudah lama teringin belajar buat kek, tetapi keadaan tidak me­ngizinkan.”

Kamariah Mat Daud, 44, mempunyai ceritanya sendiri. Pada 2012, dia mendapat kanser payudara dan melalui proses pemulihan seperti pesakit barah yang lain.

Kemudian, awal tahun lalu, anak keduanya, Mohd Fikri Hakim atau Acan mendapat penyakit jantung yang kronik. Injap jantung Acan tidak berfungsi secara normal. Keadaan ini membuatkan kehidupan Kamariah terus berubah. Acan yang memerlukan bantuan oksigen 24 jam, tidak boleh langsung ditinggalkan Kamariah.

“Dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak memberangsangkan kerana suami seorang saja bekerja dan perubatan Acan yang mahal terutama bekalan gasnya, saya mahu berbuat sesuatu bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya bercadang menjual nasi lemak, tetapi hendak keluar berniaga tidak boleh kerana Acan tidak boleh ditinggal sendirian. Saya juga mahu belajar membuat kek cawan yang sedap dan ‘cantik-cantik’, tetapi tidak berkesempatan dengan keadaan yang begini,” katanya.

Kamariah memang boleh memasak kek biasa cuma tidak ada kepandaian membuat kek cawan.

“Biasanya apabila ulang tahun hari lahir anak, saya buat sendiri kek untuk menjimatkan kos. Saya memang tak sangka dapat peluang seperti ini, dapat belajar buat kek dan gubahan pulut kuning dengan guru yang saya kagumi,” katanya.

Tahun lalu Kamariah memang sudah hampir untuk menghadiri kelas membuat kek anjuran Siti Zarina Lahuri, namun hajat itu tidak kesampaian. Ibu kepada tiga anak ini tumpuan utama­nya kepada keluarga, rumah tang­ga dan kebajikan anak­nya yang sakit. Sebagai pengorbanan seorang ibu, kepentingan diri tidak diutamakan.

Impian Kamariah yang mahu belajar membuat kek cawan disampaikan sendiri oleh kumpulan amal Superfrends kepada Siti Zarina yang juga seorang guru sekolah di Muar, Johor. Beliau guru yang ­sangat dikenali di laman sosial kerana kehebatannya di bidang memasak seperti membuat kek, biskut dan pulut kuning. Mendengar impian Kamariah, Siti Zarina menyatakan dia sendiri akan membawa kelas ­memasak ke rumah Kamariah jika keadaan wanita itu tidak mengizinkan dia keluar!

“Saya seronok dapat membuat sedikit sumbangan ilmu kepada insan yang memerlukan seperti Kamariah. Lagipun, wang ringgit bukan segalanya. Ini sekadar sumbangan kecil saya kepada Kamariah,” katanya.

Pada hari yang dirancang, ketika penulis tiba seawal jam 9 pagi, segalanya sudah tersedia. Siti Zarina pun sudah tiba. Wajah Kamariah tampak teruja dengan apa yang bakal diadakan demi dirinya. Kami melihat pemukul kek sudah sedia, begitu juga ketuhar baru yang dibawa khas sebagai hadiah menambah lagi kegembiraan wanita bertubuh kecil itu.

Tanpa membuang masa, Siti Zarina terus memulakan kelasnya. Segalanya perlu mengikut modul yang biasa dibuatnya supaya boleh tamat sekitar jam 4 petang. Ia termasuk memasak pulut kuning, membuat kek cawan, mempelajari teknik menghias krim dan menggubah pulut kuning. Di samping itu, Siti Zarina memberi tip memasarkan produk melalui laman sosial agar dapat menambah pendapatan Kamariah.

“Terima kasih Cikgu Siti Zarina yang membuatkan impian saya jadi kenyataan! Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan syukur saya. Terima kasih kerana sudi mencurahkan ilmu kepada saya. Seronok sangat dapat belajar. Terima kasih kepada pihak yang menyumbang ketuhar kepada saya!”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:00 AM