Ibu tunggal Roslina Mohamad bersama tiga anaknya ketika ditemui di Taman Seri Selising. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ibu tunggal Roslina Mohamad bersama tiga anaknya ketika ditemui di Taman Seri Selising. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi

Machang: 'Kami mohon jika ada pengamal perubatan tradisional yang sudi membantu menyembuhkan penyakit misteri yang dideritai Roslina," kata Kamariah Daud.

Kamariah, 70, adalah ibu kepada Roslina Mohamad, 42, yang menderita penyakit misteri sejak lebih dua tahun lalu selain ditinggalkan suami dan pada masa sama perlu menguruskan tiga anaknya berusia di antara enam hingga sembilan tahun.

Menurutnya, sebelum ini ada individu yang prihatin datang ke rumah untuk merawat anaknya dan tidak meminta sebarang bayaran kerana bersimpati dengan keadaan keluarga mereka.

"Sebahagian wang sumbangan yang diberikan orang ramai digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan Roslina selain kegunaan anak-anaknya yang masih bersekolah.

"Alhamdulillah, keadaan Roslina menunjukkan sedikit perubahan berbanding sebelum ini, namun ada ketikanya dia ada berasa tidak selesa dan cuba untuk melawan ketidakselesaan yang dihadapi," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang warga emas yang berusia separuh abad terpaksa mengerah sepenuh kudratnya untuk menjaga anak perempuannya yang menghidap penyakit misteri.

Menurut Kamariah, sebelum Roslina terlantar sakit, anaknya itu kerap mengadu bermimpi pelbagai perkara pelik termasuk banyak ulat dan biawak masuk ke dalam rumah, mimpi bersalin dan menyusukan anak.

Penyakit misteri yang dialami Roslina sangat pelik, apabila setiap kali makan tekaknya terasa pedih seperti tertelan kaca dan ada masanya dia berasa ada gumpalan rambut di kerongkong hingga menyebabkan berat badannya semakin susut.

Kamariah berkata, Roslina amat berharap penyakitnya itu segera sembuh agar dapat bekerja semula demi mencari rezeki untuk anak-anaknya yang semakin membesar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 3:58 PM