GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak lima kluster baharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 428.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu direkodkan itu adalah tiga di Sarawak dan masing-masing satu di Kelantan serta Kuala Lumpur.

Menurutnya, kluster baharu membabitkan tiga di komuniti dan dua di tempat kerja.

"Kluster Jalan Kampung Hilir di Sibu, Sarawak bermula dengan kes indeks (kes ke-320,720) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes di Jalan Kampung Hilir, Sibu. Setakat ini, 41 individu disaring dan 35 daripadanya dikesan positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster kedua yang dikenali Kluster Nanga Bulo, Dr Noor Hisham berkata, ia dilaporkan di Julau, Sarawak, iaitu kes indeksnya (kes ke-316,155) positif pada 9 Mac lalu dan setakat ini seramai 34 individu dilapor positif.

Beliau berkata, satu lagi kluster di Sarawak dikenali Kluster Jalan Sanyan membabitkan kes indeks (kes ke-307,621) yang dilaporkan positif pada 4 Mac lalu hasil saringan kontak rapat.

Katanya, ia membabitkan pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Sanyan, Sibu dan setakat hari ini, 19 individu disahkan positif Covid-19.

"Berikutnya adalah Kluster Banggol Chicha di daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat, Kelantan.

"Kes indeks bagi kluster itu (kes ke-322,319) dilaporkan positif pada 13 Mac lalu, hasil saringan masuk wad dan setakat ini seramai 17 dikesan positif daripada 87 ujian saringan yang dilakukan," katanya.

Katanya, kluster terakhir adalah Kluster Jalan Taiping membabitkan daerah Kepong, Cheras dan Titiwangsa di Kuala Lumpur dengan kes indeks (kes ke-317,235) dilaporkan positif pada 10 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

Beliau berkata, kluster itu membabitkan pekerja sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak berhampiran Jalan Taiping, Titiwangsa dan sehingga hari ini, seramai lapan individu dikesan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:25 PM