GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 10 kluster baharu di Selangor, Johor, Putrajaya, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima kluster membabitkan tempat kerja, empat komuniti dan satu pusat tahanan.

Menurutnya, Kluster Jalan Maju Cemerlang di Johor Bahru dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang dan setakat hari ini, seramai 11 individu disahkan positif Covid-19.

"Tiga kluster membabitkan pusat pendidikan antaranya Kluster Jalan Murni Satu di Johor yang dikesan hasil saringan individu bergejala pada 31 Mac lalu. Kluster ini membabitkan pusat pendidikan yang mana setakat ini seramai 15 disahkan positif.

"Kluster Jalan Suasana pula dikesan daripada kes indeks (kes ke-328,809) pada 19 Mac lalu. Nama kluster merujuk kepada pusat pendidikan di mana penularan berlaku di Jalan Suasana, Tun Hussein Onn, Cheras. Sebanyak 19 kes positif sudah dilaporkan.

"Kluster Danan yang dikesan di pusat pendidikan di Kampung Danan dan Kampung Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh sudah membabitkan 17 kes. Kes indeks (kes ke-336,746) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Mac lalu hasil saringan individu bergejala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Jalan Alamanda membabitkan daerah Putrajaya dan Sepang, Selangor, Dr Noor Hisham berkata, kluster itu membabitkan tiga pusat perniagaan dan setakat ini, seramai 12 individu dikesan positif Covid-19.

Mengenai Kluster Rich Park membabitkan daerah Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah, katanya, ia membabitkan majlis sosial yang berlangsung di Taman Rich Park pada 26 dan 27 Mac lalu dengan 17 individu sudah disahkan positif daripada 55 individu disaring.

"Kluster komuniti lain iaitu Kluster Sungai Mupong di Sibu dan Meradong, Sarawak sudah merekodkan 17 kes, Kluster Sungai Rassau di Matu dan Sibu, Sarawak (11 kes) serta Kluster Kampung Batu Lapan Lekir di Manjung, Perak (14 kes)," katanya.

Beliau berkata, sebuah kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Sri Aman di Sarawak dikesan positif Covid-19 hasil saringan bersasar tahanan di Penjara Pusat Sri Aman yang mana 160 disahkan positif dalam kluster ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:01 PM